Khamis, 3 Mac 2011

" Aku Mencintaimu Kerana Allah "

Firman Allah S.W.T :

Maksudnya :

Iaitu ketika kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, iaitu: "Letakkanlah ia (Musa) didalam peti, Kemudian lemparkanlah ia ke sungai (Nil), Maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh (Fir'aun) musuh-Ku dan musuhnya. dan Aku Telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dariku dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanku, [ Surah Al-Fathir : 38-39 ]

Syarahan Ayat :

Salamah bin Kuhail mengatakan, Maksudnya : Aku menjadikanmu dicintai oleh hamba-hambaku, Abu Imran Al-Jauni mengatakan : Musa a.s diasuh dengan pengawasan Allah S.W.T, dalam ayat ini juga bermaksud fitrah yang Allah S.W.T berikan adalah kasih sayang sesama manusia. Seperti mana yang diriwayatkan,
Daripada Az-Zuhri Sa’id bin Al-Musayyab mengkhabarkan kepada kami. Sesungguhnya Abi Hurairah RA berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Allah S.W.T menjadikan kasih sayang itu seratus bahagian. Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan bahagian dan menurunkan satu bahagian di bumi. Daripada satu bahagian itulah makhluk saling berkasih sayang sehingga kuda mengangkat kakinya dari anaknya kerana khuwatir menimpanya. [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Kata Imam Al-Qurtubi : Allah S.W.T mengetahui bermacam-macam nikmat yang Dia berikan kepada ciptaanNya sebanyak seratus macam. Lalu dia melimpahkan kepada mereka di dunia ini satu macam daripada kasih sayang itu dan dengan kasih sayang ini tercapailah kemaslahatan hidup. Inilah yang diisyaratkan. FirmanNya : dan dia maha penyayang kepada orang-orang yang beriman,[ Surah Al-Ahzab : 43 ] Dalam hadith lain yang mana diriwayatkan,
Daripada Anas RA daripada Nabi S.A.W beliau bersabda : Tidak sempurna keimanan seseorang dikalangan kalian sehingga ia mencintai saudaranya seperti mana ia mencintai dirinya sendiri, [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Imam An-Nawawi berkata : Cinta adalah kecenderungan terhadap
sesuatu yang diinginkan. Sesuatu yang dicintai tersebut dapat berupa sesuatu yang dapat dilihat seperti bentuk atau dapat juga berupa perbuatan seperti kesempurnaan, keutamaan, mengambil manfaat atau menolak bahaya. Kecenderungan di sini bersifat Ikhtiar (kebebasan) bukan bersifat alami atau paksaan. Oleh yang demikian itu, keutamaan menyayangi sesama saudara adalah perkara yang utama dalam islam dan mencintai Rasulullah S.A.W lebih dari yang lain adalah kesempurnaan iman. sepertimana yang diriwayatkan,

Daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Demi jiwaku yang berada di tangannya tidak sempurna keimanan seseorang dari kalian sehingga ia lebih mencintai aku dari pada kedua orang tuanya dan anaknya, [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Mencintai Rasulullah S.A.W adalah lebih utama daripada yang lain walaupun sebenarnya mencintai semua utusan Allah S.W.T adalah sebahagian daripada iman. Tetapi kecintaan yang paling besar dikhususkan untuk Nabi Muhammad S.A.W. Dalam hadith lain, sepertimana yang diriwayatkan,

Daripada Anas ia berkata Nabi S.A.W bersabda : Tidak sempurna iman seseorang dari kalian sehingga ia mencintai aku lebih daripada kedua orang tuanya, anaknya dan semua manusia, [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Imam Al-Qurtubi berkata : Setiap orang yang beriman kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan sebenar-benarnya iman, maka dirinya tidak akan pernah hampa dari rasa cinta kepadanya meskipun kecintaan mereka itu berbeza-beza, sebahagian mereka ada yang cintanya kepada Rasulullah S.A.W telah mencapai tingkat yang tinggi dan sebahagian yang lain hanya mencapai tingkat yang rendah, tetapi sebahagian besar mereka jika disebut nama Rasulullah S.A.W maka hasrat mereka untuk melihatnya sangat besar kerana menurut mereka melihat beliau sangat berpengaruh terhadap diri, keluarga, anak-anak, harta dan orang tua mereka, maka tidak jarang kita melihat sebahagian mereka yang mengeluarkan tenaga harta dan kemampuannya untuk menziarahi ke makam Rasulullah S.A.W dan melihat tempat-tempat bersejarah, ini kerana kecintaan seseorang itu lebih daripada segala-galanya. Begitu juga Nabi S.A.W mencintai sahabatnya. sepertimana yang diriwayatkan,

Daripada Ibnu Umar RA beliau berkata Rasulullah S.A.W pernah mengutuskan suatu pasukan dan mengangkat Usamah bin Zaid sebagai pemimpinnya, lalu sebahagian orang mengkritik kepimpinannya, Maka Rasulullah S.A.W berdiri lalu bersabda : Jika kalian mengkritik kepimpinannya, bermakna kalian telah mengkritik kepimpinan ayahnya sebelumnya. Demi Allah, sungguh dia (ayahnya) sangat layak untuk memimpin dia termasuk orang yang paling aku cintai dan sungguh (Usamah bin Zaid) ini juga termasuk orang-orang yang paling aku cintai setelahnya, [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Nabi S.A.W adalah utusan Allah S.W.T buat seluruh alam untuk menyampaikan agama Allah yang agong, oleh sebab itu, tidak berkecuali Nabi S.A.W mempunyai sifat kasih sayang terhadap sahabat-sahabatnya dan semua manusia. begitu juga sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W sangat mencintai beliau, yang mana diriwayatkan daripada abdullah bin hisyam ia berkata, kami sedang bersama Nabi S.A.W ketika beliau memegang tangan Umar bin Al-Khatab. lalu umar berkata kepada beliau : wahai Rasulullah S.A.W sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu selain diriku. Nabi S.A.W bersabda kepadanya : tidak’ demi zhat yang jiwaku berada di tangannya, sampai aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri. maka umar berkata, maka sekarang sudah begitu, sungguh engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri. maka Nabi S.A.W bersabda : kini (engkau sudah tahu) wahai umar”. [ Hr Bukhari ] Dalam hadith lain yang mana diriwayatkan,
Daripada Anas bin Malik bahawa seorang wanita dari golongan Ansar menemui Nabi S.A.W bersama anak-anaknya. Lalu Nabi S.A.W bersabda, Demi Zhat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kalian adalah manusia yang paling aku cintai” beliau mengucapkannya tiga kali, [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Dalam hadis ini menunjukan bahawa Nabi S.A.W saling menyayangi sesama manusia baik sahabat menyayangi beliau mahupun beliau menyayangi sahabat-sahabat beliau. pada masa yang sama, hadith ini juga menunjukan tentang kecintaan manusia adalah fitrah dan hadith ini termasuk dalam pembahasan keutamaan kaum ansar, dalam penelitian hadis ini walaupun ia termasuk bab sumpah tetapi saya lebih cenderung untuk menerangkan tentang kasih sayang sahaja untuk bab sumpah dan keutamaan kaum ansar saya akan bahaskannya pada bab yang lain. Dalam hadith lain yang mana diriwayatkan,

Daripada Miqdam bin Ma’di Karib daripada Nabi S.A.W beliau bersabda : Jika seseorang mencintai saudaranya (sesama islam) maka hendaklah ia memberitahunya bahawa ia mencintainya, [ Hr Abu Daud Sahih ]

Syarahan Hadith :

Kejujuran untuk memaklumkan perkara yang sebenar adalah perkara yang baik. Yang mana Nabi S.A.W menyuruh untuk memaklumkan kepada saudara sesama islam yang lain apabila ia mencintai seseorang itu. Ini kerana Nabi S.A.W juga memaklum kepada kaum ansar dengan sedemikian rupa. Maka mengucapkan kata kasih sayang diantara manusia itu adalah sunnah Nabi S.A.W. Dalam hadith lain yang mana diriwayatkan,

Daripada Anas bin Malik bahawa seorang lelaki berada di sisi Nabi S.A.W, maka seorang lelaki (lain) melintasinya dan ia berkata, Wahai Rasulullah S.A.W sesungguhnya aku mencintai orang ini. Maka Nabi S.A.W bertanya, apakah engkau telah memberitahunya? Ia menjawab, belum. Lalu beliau bersabda : beritahulah kepadanya (perawi) berkata, maka orang (yang berada di sisi Nabi S.A.W) itu mengejarnya lalu berkata, “Aku Mencintaimu Kerana Allah” orang itu menjawab, “semoga yang kerananya engkau mencintaiku (aku) akan mencintaimu” [ Hr Abu Daud Hasan ]

Syarahan Hadith :

Setiap ungkapan yang baik kerana Allah S.W.T ia akan menperolehi pahala dengan apa yang dilakukan. maka mengucap kasih sayang hanya kerana Allah S.W.T adalah satu amalan yang mulia di sisi Islam dan ia mengukuhkan lagi iman seseorang itu hanya kerana Allah S.W.T. Dalam hadith lain yang mana diriwayatkan,

Daripada Anas bin Malik RA beliau berkata Nabi S.A.W bersabda : seseorang tidak akan dapat manisnya iman sehingga dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintainya kecuali hanya kerana Allah S.W.T dan hingga dia dicampakkan ke dalam api neraka lebih dia cinta daripada kembali kepada kekufuran setelah Allah S.W.T menyelamatkannya darinya dan hingga Allah dan Rasul-Nya lebih dia sukai daripada selain keduanya, [ Hr Bukhari ]

Syarahan Hadith :

Sesuatu amalan hendaklah hanya kerana Allah S.W.T dan hadith ini menunjukan kemanisan iman seseorang itu dapat dicapai dengan mencintai seseorang itu hanya kerana Allah S.W.T maka ia termasuk orang yang memperolehi kemanisan iman. Oleh yang demikian itu, kecintaan seseorang itu hendaklah lebih daripada segalanya terhadap Allah dan Rasul-Nya ini kerana hidayah (petunjuk) hanya datang daripada Allah S.W.T dan melalui Rasul-Nya segala perintah yang maha Isa, walaupun seseorang itu diuji dengan dahsyat dia tetap beriman hanya kerana Allah S.W.T dan kerana ialah yang maha memberi taufiq dan hidayah. Yang mana firman Allah S.W.T,

Maksudnya :

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, [ Surah Ali-Imraan : 31 ]

Syarahan Ayat :

Bukti mencintai Allah S.W.T adalah dengan mengikuti Rasul-Nya, adapun Al-Hasan Al-Bashri serta beberapa ulama Salaf mengatakan : Ada suatu kaum yang mengaku mencintai Allah. Lalu Allah menguji mereka melalui ayat ini yang mana firman Allah S.W.T “Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihimu” Jesteru, mencintai Allah dan Rasul-Nya adalah perkara yang utama lalu mencintai sesama saudara kerana Allah S.W.T dan tidaklah mencintai seseorang itu berlebihan ini kerana yang lebih berhak itu hanyalah kepada Allah dan Rasul-Nya dan orang yang mencintai Rasul itu adalah orang yang beriman. Yang mana diriwayatkan,
Daripada Ali RA beliau berkata Nabi S.A.W yang ummi (buta huruf) mengamanatkan kepadaku sebuah janji. Bahawa tidak ada orang yang mencintaiku kecuali orang beriman dan tidak ada yang membencihiku kecuali orang munafiq, [ Hr Ibnu Majah Sahih ]

Syarahan Hadith :

Tanda keimanan seseorang hamba itu terdiri daripada kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Justeru, orang yang tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya adalah terdiri daripada orang-orang munafiq melainkan orang yang beriman ia mencintai Allah dan Rasul-Nya, maka kecintaan yang yang sebenar itu hanyalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh sebab itu Allah S.W.T membekalkan kepada hambanya fitrah berkasih sayang sesama insan. Maka insan mencintai satu sama lain hanya kerana Allah S.W.T dan Allah mengadili setiap sesuatu. Dalam hadith lain,

Daripada Abu Muslim Al-khaulani, Mu’az bin Jabal menceritakan kepadaku. Ia berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Allah S.W.T berfirman, Orang-orang yang saling mencintai dalam keagunganku bagi mereka mimbar daripada cahaya. Kedudukan mereka seperti yang di inginkan para Nabi dan Syuhada, [ Hr At-Tarmizi Sahih ]

Syarahan Hadith :

Mencintai seseorang kerana Allah S.W.T termasuk golongan orang yang dinaungi oleh Allah S.W.T. yang mana diriwayatkan,

Daripada Abi Hurairah atau Abi Sa’id bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Ada tujuh golongan yang Allah S.W.T akan berikan naungan-Nya kepada mereka. Di mana pada hari itu tidak ada naungan lain selain naungan darinya. Iaitu, seorang pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dengan sentiasa beribadah kepada Allah S.W.T, seseorang yang hatinya terpaut dengan masjid ketika keluar dari masjid hingga ia kembali masuk ke dalam masjid itu, dua orang yang mencintai kerana Allah S.W.T, seseorang yang berzikir kepada Allah S.W.T dengan menyendiri sehingga air matanya menitis dan seseorang yang dirayu oleh seorang wanita yang terhormat (memiliki kedudukan) dan cantik (untuk berbuat zina) namun ia berkata, Aku takut kepada Allah S.W.T dan seseorang yang bersedekah secara diam-diam sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya, [ Hr At-Tarmizi Sahih ]

Syarahan Hadith :

Insan yang saling mencintai kerana Allah S.W.T mereka adalah tergolong dalam naungan Allah S.W.T seperti mana dalam hadith ini mereka terdiri daripada tujuh golongan yang berada dalam naungan Allah S.W.T pada hari akhirat dan tidak ada naungan lagi melainkan naungan Allah S.W.T

[ Cinta Dan Hikmah ]

Daripada Abi Hurairah RA menurutku Abi Hurairah meriwayatkan hadith secara marfu’ kepada Rasulullah S.A.W ia (Abi Hurairah RA) berkata : Cintailah kekasihmu sekadarnya sahaja (sebab) boleh jadi suatu hari ia akan menjadi orang yang engkau benci dan bencilah orang yang engkau benci sekadarnya sahaja (sebab) boleh jadi suatu hari ia akan menjadi orang yang engkau cintai, [ Hr At-Tarmizi Kata Syeikh Al-Albani : Sahih Ghayah Al-Maram : 872 ]

Syarahan Hadith :

Mencintai seseorang itu adalah fitrah yang ada pada diri Insan dan Allah S.W.T tidak suka kepada perkara yang berlebihan maka dalam hadith ini menunjukan hak untuk mencintai itu ada tetapi yang lebih berhak itu diutamakan seperti mencintai Allah dan Rasulnya. oleh sebab itu, cintailah seseorang itu sekadarnya kerana yang lebih berhak ialah mencintai Allah dan Rasul-Nya. Justeru, berlebihan kepada yang tidak berhak kemungkinan ia akan menjadi musuhmu dan bencilah musuhmu atau orang yang dibenci itu sekadarnya kerana kemungkinan ia boleh menjadi kekasihmu. Sekiranya seseorang lelaki itu mencintai seorang wanita. Maka yang berhak dia cintai ialah isterinya. Seperti mana yang diriwayatkan,
Daripada Ibnu Abbas beliau berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : Tidak pernah terlihat dua orang yang saling mencintai seperti (melainkan) pernikahan (suami isteri), [ Hr Ibnu Majah Sahih ]

Syarahan Hadith :

Hadith ini bermaksud lelaki dan wanita yang saling mencintai ialah hak mereka ketika selepas menikah manakala mencintai sesama saudara ialah sekadar kerana yang lebih berhak dicintai ialah Allah dan Rasul-Nya. Maka dalam bab ini Islam adil buat fitrah manusia mengenai cinta dan Allah S.W.T anugerahkan cinta yang sedikit itu agar manusia mencapai kemaslahatan berkasih sayang. Kata Imam Al-Qurtubi : Allah S.W.T mengetahui bermacam-macam nikmat yang Dia berikan kepada ciptaanNya sebanyak seratus jenis. Lalu dia melimpahkan kepada mereka di dunia ini satu jenis daripada kasih sayang itu, dan dengan kasih sayang ini tercapailah kemaslahatan hidup. Hal inilah yang diisyaratkan FirmanNya : dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman, [ Surah Al-Ahzab : 43 ]

Allah S.W.T berfirman :

Maksudnya :

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki- laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu) bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga), [ Surah An-Nur : 26 ]

Syarahan Ayat :

Ibni Abbas RA berkata, Maksud ayat di atas ialah perkataan keji hanya mungkin keluar dari orang-orang yang keji dan hanya lelaki yang kejilah yang wajar dituduh dengan perkataan yang keji. Demikian pula, perkataan yang baik akan keluar dari orang-orang yang baik hanya orang-orang yang baiklah yang wajar dialamatkan kepada mereka perkataan yang baik. Ayat ini turun berkaitan dengan Aisyah RA dan orang-orang yang menyebarkan (munafiq) berita bohong tentang dirinya dan Allah S.W.T membebaskan Aisyah RA daripada fitnah itu. Seperti mana Firman Allah S.W.T :

Maksudnya :

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyebaran berita bohong itu baginya azab yang besar, [ Surah An-Nur : 11 ]

Syarahan Ayat :

Gelombang fitnah ini disebarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Dialah yang menyebarkan fitnah tentang Aisyah RA dan Shafwan bin Al-Mu’athathal As-Sulami Az-zakwani. Tetapi Allah S.W.T membebaskan fitnah itu dengan turunya ayat seperti di atas. والله تعالى اعلم

والله الحمد